4 jam yang lalu

Hyundai Tambahkan Xiaomi SU7 ke dalam Armada Kajian

Editor : Yusuf Ibrahim
Ilustrasi. (foto istimewa)

JAKARTA, TIGAPILARNEWS.COM- Hyundai Motor dilaporkan telah menambahkan Xiaomi SU7 ke dalam armada kajian dalaman mereka di Korea Selatan.

Seperti dilansir dari Bloter, beberapa unit model elektrik buatan China itu kini sedang diuji di Pusat Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Namyang di Hwaseong serta ibu pejabat Hyundai di Seoul.

Salah satu unit SU7 Max dilihat sedang dihantar ke pejabat Hyundai di Yangjae, Seoul pada 16 Julai, lengkap dengan nombor pendaftaran sementara yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Seocho.

Bloter turut mengesahkan bahawa Hyundai telah menerima kelulusan rasmi untuk mengendalikan kenderaan itu bagi tujuan penyelidikan. Langkah ini memperlihatkan perluasan strategi penanda aras Hyundai terhadap model EV luar negara, termasuk dari pengeluar China seperti Xiaomi.

Meskipun SU7 tidak dijual secara rasmi di Korea Selatan, beberapa unit dikatakan telah diimport khusus untuk ujian dalaman.

Keputusan untuk mengkaji SU7 hadir ketika pemain automotif China seperti BYD dan Xiaomi semakin mendapat perhatian global. Dalam satu mesyuarat korporat awal tahun ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai, Euisun Chung, menegaskan perlunya syarikat bersaing bukan hanya dengan Tesla, tetapi juga dengan pesaing baharu dari China.

“Cabaran tidak dapat dielakkan sedang menanti,” ujar beliau sambil menggesa semua pihak bersiap sedia menghadapi perubahan landskap industri EV.

Pelaburan fizikal Hyundai juga menunjukkan pertumbuhan ketara. Menurut laporan yang sama, nilai aset ketara syarikat meningkat daripada 38.9 trilion won pada 2023 kepada 44.8 trilion won pada suku pertama 2025.

Perbelanjaan modal untuk aset ini pula mencecah 2.08 trilion won (RM7 bilion) dalam tempoh tersebut, peningkatan 12 peratus berbanding tahun lalu.

Walaupun tiada pecahan khusus terhadap pembelian EV luar negara, SU7 dipercayai termasuk dalam pelaburan R&D yang lebih besar ini. Hyundai dilihat mahu mengambil inspirasi daripada teknologi yang ditawarkan oleh SU7, khususnya dalam aspek antaramuka pengguna dan sistem infotainmen.

Sistem operasi HyperOS milik Xiaomi telah dibandingkan dengan BlueLink Connect milik Hyundai, dan mungkin menjadi rujukan dalam pembangunan kokpit digital generasi baharu mereka.

Untuk tahun 2025, Hyundai telah memperuntukkan 24.3 trilion won bagi pelaburan keseluruhan, dengan hampir separuh daripadanya dikhaskan untuk penyelidikan dan pembangunan.(tom)


0 Komentar